Wednesday, 2 February 2011


Pertembungan Agama Dan Kemajuan

Pada masa kini, manusia merasakan diri mereka maju dengan mencipta ajaran-ajaran baru. Ajaran-ajaran baru itu tidak lagi dinamakan agama tetapi mereka menamakan dengan ideologi atau teori. Ia bermaksud fahaman-fahaman, cita-cita, haluan dan aliran pemikiran. Ia bukan sahaja pendapat tetapi keyakinan akidah yang diperjuang dengan bersungguh-sungguh dan penuh pengorbanan.
Aliran ini berasal dari Eropah yang memisahkan kehidupan mereka daripada agama. Kristian kini dikuasai oleh unsur penyembahan berhala di Eropah kerana agama yang didakwa diajarkan oleh Nabi Isa sebenarnya diseleweng dan hanyut daripada hakikatnya yang sebenar. Oleh itu, ia dibawa ke Eropah dalam keadaan yang tidak lengkap. Ada pindaan-pindaan yang diubahsuai menurut kemahuan kerajaan Rom. Syeikh Abu Hasan Ali an-Nadawi menegaskan dalam bukunya Maza Khasira al-Alam Bi Hitot al-Muslimin, Kristian berjaya dalam bidang ketenteraan tetapi mereka gagal dalam bidang agama. Mereka berjaya mendirikan empayar Rom yang besar tetapi meleset dalam bidang akidah. Oleh kerana unsur penyembahan berhala mengatasi Kristian dan mempengaruhi ajarannya, Kristian terus diseleweng oleh orang-orang Yahudi yang tidak menerima Nabi Isa dan menentangnya dengan sekeras-kerasnya.
Agama Islam yang bersikap sempurna dan lengkap bukan sahaja berjaya dalam bidang akidah, tetapi juga berjaya dalam bidang tamadun dunia. Kemajuan dunia mempengaruhi orang-orang Eropah mempelajari tamadun Islam di Baghdad dan Andalus. Mereka tidak menerima Islam tetapi mereka membawa perubahan melalui tamadun kebendaan ini dan mencetuskan kemajuan kebendaan yang pesat di Eropah. Kemajuan ini tidak dapat diterima oleh penganut-penganut Kristian yang fanatik. Berlaku pertembungan sehingga menyebabkan lahirnya ideologi-ideologi atau teori-teori baru yang berpandukan kepada unsur kebendaan dan perasaan, sama ada menolak agama atau menerima agama sebahagian daripada keperluan manusia.
Perkara yang menjadi perhatian adalah ajaran-ajaran ini dibawa masuk ke negara-negara Islam dan menjadi senjata serangan pemikiran yang berkesan pada masa kini. Ia dapat menjauhkan mereka daripada Islam dengan cara dan hujah tidak menolak Islam dan masih mengakui sebagai peganut Islam. Ia berjaya menyesatkan akidah atau sekurang-kurangnya memecahkan umat Islam kepada pelbagai ideologi dan kumpulan yang memperjuangkan ideologi itu sehingga berlaku pertarungan sesama sendiri dan hanyut jauh daripada Islam secara sedikit demi sedikit. Benar kenyataan Allah dalam surah Ali Imran, ayat 100,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تُطِيعُوا فَرِيقًا مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ يَرُدُّوكُمْ بَعْدَ إِيمَانِكُمْ كَافِرِينَ
Wahai orang-orang Yang beriman! jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) Yang diberikan Kitab itu, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman.

Sejarah Mazhab Qadiani atau Ahmadiah

Ajaran ini diasaskan oleh Mirza Ghulam Ahmad al-Qadiani. Qadian adalah gelaran tempat kelahirannya di salah sebuah bandar di wilayah Punjab, India. Apabila ajaran al-Babiah dan al-Baha’i mendapat sokongan penjajah di Iran, ajaran Qadiani, Qadianiah atau Ahmadiah pula mendapat sokongan penjajah Inggeris di India dengan tujuan merosakkan akidah umat Islam dari dalam. Ia juga bagi mewujudkan masalah dalaman umat Islam sehingga meredakan penentangan mereka kepada penjajah.
Pengasasnya mempunyai latar belakang sejarah yang tidak baik sejak awal lagi. Keluarganya menjadi hamba kepada penjajah Inggeris di India. Dia dilahirkan pada tahun 1839 atau 1840 Masihi. Dia mempelajari ilmu bahasa Arab seperi nahu dan sorof. Selain itu, dia juga mempelajari ilmu bahasa Inggeris, ilmu perubatan dan juga ilmu tilik nasib daripada ayahnya yang pernah menjadi penilik nasib.
Pada mulanya, dia menunjukkan sikap berpegang pada ajaran Islam sebenar dengan membela agama dan bersedia mengarang kitab bagi tujuan itu. Dia berjaya mengumpulkan sumbangan wang dan tenaga oleh masyarakat di tempatnya yang menyokong usahanya itu. Namun, secara tiba-tiba dia menyeleweng dan menyebarkan ajaran itu dengan mendakwa nabi Isa sudah wafat dan kuburnya terletak di India. Hujahnya adalah apabila Nabi Isa diburu oleh puak pelampau Yahudi, beliau berhikrah ke Kashmir dan tinggal di sana sehingga meninggal dunia. Beliau meninggal dunia semasa berusia 120 tahun dan dikuburkan di sana. Walaupun teorinya secara jelas menunjukkan pembohongan dan rekaan semata-mata, terdapat segolongan umat Islam yang mempercayainya.
Kemudian, dia mengaku menjadi Imam Mahdi. Imam Mahdi adalah individu yang dijanjikan oleh Nabi Muhammad akan lahir pada akhir zaman. Dia membacakan hadis, setiap 100 tahun akan lahir pemimpin gerakan pembaharuan (mujaddid). Akhirnya dia mendakwa dirinya adalah mujaddid pada akhir abad ke-14 Hijrah.
Selepas berjaya mengumpul pengikut, dia menaikkan tarafnya dengan roh Nabi Isa menjelma di dalam dirinya. Kemudian, dia mendakwa roh Nabi Muhammad menjelma dalam dirinya. Akhirnya, kedua-dua roh nabi itu berkumpul dalam dirinya.
Memandangkan para nabi mempunyai mukjizat, dia juga mendakwa mempunyai mukjizat. Dia berkata, “Aku boleh mengadakan sejuta mukjizat.” Namun, tidak ada satu pun mukjizat yang bedaku. Ada juga beberapa ramalan yang dibuat olehnya seperti memberitahu saat kematian penentangnya dengan tarikh yang ditetapkan tetapi ramalan itu tidak berlaku.
Ajaran Qadiani bercanggah dengan rukun-rukun iman secara terang-terangan. Antaranya rukun beriman pada Allah, para rasul dan hari kiamat. Kesesatannya semakin jelas terdedah apabila gerakannya disokong kuat oleh penjajah Inggeris di India. Pihak Inggeris memberi kebenaran kepada Mirza Ghulam Ahmad bagi menyebarkan ajarannya di negara-negara umat Islam. Sebagai tanda sokongan, pihak Inggeris memberikan kawasan penempatan yang mereka namakan Rabwah di daerah Punjab bagi dijadikan pusat gerakannya di seluruh India dan seluruh dunia Islam. Gerakan ini diberikan pelbagai kemudahaan bergerak dengan harapan gerakan ini dapat memecahkan kesatuan umat Islam dan meredakan tentangan mereka kepada penjajah.

Sejarah Mazhab al-Babiah

Ajaran sesat yang dibawa oleh seorang yang bernama Mirza Ali Muhammad al-Syirazi yang menggelarkan dirinya al-Bab yang bererti pintu. Ini kerana dia berkata, “Sesungguhnya yang ingin sampai kepada Allah mestilah melalui jalan rasul, nabi dan wali. Oleh kerana untuk mencapainya sangat susah, mestilah melalui pintunya maka sayalah pintunya.” Perkataan pintunya dalam bahasa Arab ialah al-Bab. Kemudian, dia menukarkan namanya kepada al-Bab. Daripada perkataan ini, ajarannya dinamakan al-Babiah.
Mirza Ali Muhammad lahir pada tahun 1252 Hijrah bersamaan tahun 1820 Masihi. Dia mempelajari ajaran al-Batiniah daripada Syed Kazim al-Rasyti. Gurunya adalah murid kepada pemimpin kebatinan bernama Ahmad al-Ahsaei.
Ajaran ini mendapat sokongan daripada Yahudi di Syiraz, Iran. Bagi membuktikan keislamannya, dia menunaikan haji di Mekah pada tahun 1260 Hijrah serta mengunjungi makam Nabi Muhammad di Madinah. Apabila pulang ke Iran, Mirza secara tiba-tiba menyebarkan ajarannya sehingga para sarjana Islam di Iran menjadi gempar. Mereka mendesak pemerintah pada masa itu supaya menghapuskan gerakannya kerana ia membawa kepada kufur secara terang-terangan. Bagi menghadapi tentangan para sarjana Islam, dia mengisytiharkan dirinya keluar daripada agama Islam dan memutuskan hubungan dengan al-Quran, hadis-hadis Nabi Muhammad dan kitab-kitab agama Islam. Tidak lama kemudian, dia mengaku menjadi Imam Mahdi sehingga mendakwa dirinya lebih baik daripada Nabi Muhammad dan ajarannya lebih baik daripada ajaran Islam. Keadaan bertambah kritikal apabila dia mendakwa Allah menjelma di dalam dirinya, dai yang menzahirkan makhluknya dan menzahirkan Nabi Musa dan Nabi Isa ke alam dunia. Para sarjana Islam di Iran menghukumnya terkeluar daripada agama Islam dan ada juga yang menyatakan dia gila.
Golongan yang mengikut ajaran sesat ini mengarang beberapa kitab yang terkandung di dalam ajaran al-Babiah. Kitab yang terpenting dinamakan al-Bayan yang ditulis dalam bahasa Arab. Di dalamnya terkandung pengenalan kepada ajaran al-Babiah. Pengikut al-Babiah menganggap kitab ini sebagai buku suci. Kemudian mereka mengarang kitab al-Itqan yang menyempurnakan kitab al-Bayan.
Antara ajarannya adalah:
  • Tidak beriman kepada hari akhirat. Mereka memberi maksud hari akhirat dengan alam rohani sahaja.

  • Semua penganut agama adalah sama sahaja.

  • Al-Quran tidak sesuai dipraktikkan pada zaman ini.

  • Sembahyang sekali sahaja sebulan dan tidak memerlukan wuduk.

  • Tidak wajib mengadap kiblat kerana bagi mereka, di mana sahaja mereka mengadapa, di sana wajah Allah berada.

  • Menafikan hukuman qisas (bunuh balas), hudud (hukuman bagi zina, tuduhan zina, mencuri, minum arak dan sebagainya) dan takzir secara sebatan (selain hukuman hudud dan qisas yang ditetapkan oleh nas al-Quran dan hadis).

  • Menyamakan kadar penerimaan perempuan dengan lelaki dalam harta pusaka.

  • Para sarjana Islam di Iran pada masa itu menggesa pihak pemerintah supaya memanggil para pengikut al-Babiah supaya disoal siasat. Mereka juga mengajak berdebat bagi membuktikan kebenaran sekaligus menolak hujah-hujah mereka. Apabila isu semakin hangat, Mirza Ali menafikan membawa ajaran iru dan bersembunti di rumahnya sehingga isu itu reda. Pada 10 Rabiulawal 1261 Hijrah, dia kembali menyebarkan ajarannya. Umat Islam ketika itu menentangnya dengan keras sehingga mendesak Shah Yahya al-Darabi, pemerintah Syiraz supaya menahannya. Namun, Mirza Ali berjaya melepaskan diri dari penjara dan menuju ke Esfahan. Di sana, dia menjadi tetapi kehormat kepada pegawai daerah dan mengajar di sana. Akhirnya kesesatannya terdedah apabila majlis sarjana Islam yang dihadiri oleh 70 para sarjana memutuskan dia kafir. Mereka juga menyarankan kepada pemerintah supaya menjatuhkan hukuman bunuh kerana murtad. Namun, pemerintah ketika itu hanya meluluskan hukuman penjara sahaja. Apabila Shah Nasiruddin berkuasa, Perdana Menteri Iran pada masa itu meluluskan hukuman bunuh. Akhirnya al-Bab dijatuhkan hukuman bunuh bersama dua pengikutnya pada 27 Syaaban 1365 Hijrah.

    Kitab Suci dan Ketua Agama Yazidiah

    KITAB-KITAB SUCI MEREKA
    Al-Quran
    Mereka mengambil mana-mana bahagian ayat dan surah yang mereka sukai dan membuang bahagian yang tidak dipersetujui. Mereka mendakwa ia sengaja ditambah-tambah oleh orang-orang Islam.
    Kitab Ras
    Dalamnya terkandung berita kejadian langit, bumi, lautan, bukit bukau, pokok, para malaikat, Arasy, Adam dan Hawa.
    Kitab Jalud
    Menurut kepercayaan mereka kitab ini berada di sisi Tawuus Malik sebelum segala makhluk dicipta. Menurut ahli sejarah, orang yang menulis kitab ini adalah Syamsudin al-Hasan iaitu salah seorang agamawan mereka. Namun, pengikut-pengikutnya menganggap kitab ini juga daripada Tuhan. Dalamnya terkandung ‘pesanan Tuhan’ kepada hambanya supaya mengikut al-Quran dan agama-agama langit yang menepati kehendak Allah.
    Kitab Ras dan kitab Jalud itu tersebar pada tahun 1895 Masihi dalam bahasa Inggeris. Kemudian ia diterjemah dalam bahasa Arab pada tahun 1909 Masihi seterusnya dalam bahasa Kurdish pada tahun 1911 Masihi.
    Jelas sekali kitab-kitab itu adalah ciptaan manusia bukannya daripada Allah dan ternyata akidah Yazidiah terkeluar daripada Islam dan mencampur-aduk ajaran Islam, Kristian, Majusi dan lain-lain.
    KETUA-KETUA AGAMA YAZIDIAH
    Antara pemimpin-pemimpin agama Yazidiah yang disanjung dan menjadi rujukan kepada mereka ialah:
    Syeikh Adi bin Musafir
    Lahir pada tahun 1073 Masihi. Dia membawa tarikat yang bernama tarikat Adawiyah, pengikutnya mendakwa dia tidak mati tetapi diangkat ke langit.
    Syeikh Abu al-Barkat
    Namanya Sakar bin Sakarin bin Musafir anak saudara kepada Syeikh Adi menurut pengikutnya dia dipilih dengan wasiat Syeikh Adi.
    Syeikh Adi bin Abu al-Barkat
    Bergelar Abu al-Mafajar al-Kurdi.
    Syeikh Syamsuddin Abu al-Hassan
    Dia digelar al-Hassan al-Basri. Menurut pengikutnya dia bertapa selama enam hari dan keluar membawa kitab al-Ajwah yang didakwa daripada Tuhan. Akhirnya dia dibunuh oleh Raja Badaruddin Lukluk, pemerintah Muusil pada tahun 644 Hijrah.
    Syeikh Syarifuddin Muhammad bin Syeh Abu al-Hassan
    Dia mengganti bapanya yang dibunuh. Tetapi pada tahun 655 Hijrah, dia dibunuh oleh Sultan Izzuddin al-Saljuqi.
    Syeikh Zainuddin Yusuf bin Syarifuddin Muhammad
    Dia melarikan diri ke Mesir dan meninggal dunia di sana pada tahun 725 Hijrah.

    Sejarah Mazhab Musyabbihah II

    al-Mansuriah:
    Mereka adalah pengikut Abu Mansur al-Ajali yang mengaku menjadi imam dan mengajak orang ramai mengikut ajarannya.
    Akhirnya Abu Mansur ditangkap dan dibunuh oleh Yusuf bin Umar as-Saqafi, Gabenor Iraq pada zaman pemerintahan Hisyam bin Abdul Malik. Selepas dia meninggal dunia, pengikutnya yang masih hidup berpecah kepada dua mazhab:
    Al-Husainiah:
    Pengikut al-Husain bin Abu Mansur
    Al Muhammadiah:
    Yang mendakwa menjadi pengikut Muhammad bin Abdullah (al-Nafsi al-Zakiah).
    Al-Khattabiah:
    Pengikut Abu al-Khattab Muhammad bin Abu Zainab al-Asadi al-Ajda’. Akibat daripada ajarannya sesat dan menyesatkan itu, Imam Jaafar al-Sodiq menjauhkan diri daripadanya walaupun Abu al-Khatab mengaku sebagai pengikutnya.Saad al-Qummi berkata dalam kitabnya al-Maqalat wal-Firaq, golongan Khattabiah ini berpecah kepada empat pendapat:
    • Pendapat pertama; mereka berkata Jaafar as-Sodiq itu tuhan dan Abu al-Khatab itu rasulnya.
    • Pendapat kedua; mereka yang berkata al-Sirri al-Aqsam diutuskan oleh Jaafar as-Sodiq lalu mereka bersembahyang, berpuasa dan menunaikan haji kerana Jaafar.
    • Pendapat ketiga; mereka yang berkata Jaafar itu Allah dalam bentuk cahaya. Dia masuk ke dalam tubuh orang yang diwasiatkan menjadi peggantinya. Orang yang dimasuki cahaya itu adalah Jaafar. Kemudian cahaya itu keluar dan masuk pula ke dalam Abu al-Khatab. Jaafar ketika itu bertukar menjadi malaikat.
    • Pendapat keempat; mereka yang menyamakan Bazigh seperti Abu al-Khatab. Dia juga diutuskan menjadi rasul dan berkongsi dengan Abu al-Khatab dalam pangkat nabi dan rasul.
    Apabila ajaran Abu al-Khatab berleluasa, Gabenor Kufah menggerakkan bala tenteranya pada tahun 38 Hijrah bagi menghapuskan Abu al-Khatab dan pengikut-pengikutnya. Abu al-Khatab dan pengikut-pengikutnya menentang bala tentera Gabenor Kufah dengan menggunakan pisau, seligi dan batu-batu. Akhirnya Abu al-Khatab berjaya ditahan dan dibawa ke Kufah. Dia dijatuhkan hukuman bunuh bersama beberapa pengikutnya. Mayat-mayat mereka disula dan dipertontonkan kepada orang ramai.
    Al-Muamariah:
    Pengikut seorang yang bernama Muamar, mereka menyembahnya seperti menyembah Abu al-Khatab.
    Al-Bazighiah:
    Pengikut Bazigh bin Musa. Dia mendakwa Imam Jaafar as-Sodiq itu Tuhan yang menjelma dengan rupa makhluk.
    Al-Ujailiah:
    Pengikut Umair bin Banan al-Ujaili. Pengikutnya mendakwa Umair adalah pengganti Abu al-Khatab. Walau bagaimanapun, mereka menerima kematian berbeza dengan al-Muamariah yang mendakwa mereka berpindah ke alam malakut. Akhirnya ketua mereka dijatuhkan hukuman bunuh oleh pemerintah Islam pada zamannya.
    Al-Kayyaaliyyah:
    Pengikut Ahmad bin al-Kayal. Dia dianggap sebagai salah seorang Imam yang tersembunyi. Peringkat awal dia mengaku menjadi imam sehingga pada suatu hari dia mendakwa mampu “berdiri dengan sendirinya” (menjadi Tuhan).
    Al-Nusairiah:
    Pengikut Muhammad bin Nasir yang mendakwa sebagai pengikut Imam Husain al-Askari. Dia adalah imam yang ke sembilan daripada mazhab Syiah Imamiah. Dalam ajarannya sering membincangkan perkara Syiah. Mereka adalah golongan pelampau Syiah.

    Sejarah Mazhab Musyabbihah I

    Pada zaman Salaf, golongan ini memutuskan tidak merubah makna asli ayat-ayat al-Quran dan hadis yang mutasyabihat kepada makna lain (takwil). Setelah beberapa lama, timbul fahaman-fahaman salah yang menafsirkan ayat-ayat mutasyabihat ini sewenang-wenangnya. Lantas, muncul golongan Khalaf yang dipelopori oleh Abu Hassan al-Asy’ari dan Muhammad bin Muhammad al-Maturid memperbetulkan salah faham ini dengan mentakwil berdasarkan logik akal dan bahasa tanpa menyimpang daripada pemahaman al-Quran dan Sunnah.
    Pada fasa salah faham ini, terdapat golongan yang menyerupakan atau menyamakan Allah dengan makhluk berdasarkan zahir ayat-ayat al-Quran dan hadis yang mutasyabihat. Kemudian mereka terus meletakkan makna itu sama seperti yang ada pada makhluk. Mereka bertindak berani dengan menyatakan, “Tuhan yang disembah itu mempunyai rupa yang ada sebahagian anggota tubuh sama ada rohani atau jasmani. Seseorang hamba yang kuat beribadah dan mujahadah dipercayai dapat berjabat tangan dengan Tuhan. Dia dapat bersentuh dengan Tuhan, boleh melihatnya di dunia malah boleh menziarahinya.”
    Salah seorang pengikut fahaman ini, Daud al-Hawarizmi berkata, “Tuhan yang disembah itu berjisim, mempunyai darah dan daging, mempunyai anggota tangan, kaki, kepala, lidah dan dua mata.”
    Mereka menguatkan hujah-hujah dan bukti-bukti mereka kepada hadis-hadis palsu yang sengaja direka dan mengaitkan nama Nabi Muhammad. Hakikatnya, kebanyakan hadis-hadis itu diambil daripada orang-orang Yahudi yang menganut ajaran yang sama.
    Golongan mutasyabihat terbahagi kepada dua jenis:
    Pertama: Mereka yang menyamakan zat Allah dengan zat makhluk. Antara golongan yang menganut fahaman ini adalah al-Saba’iah, al-Bayaniah, al-Hululiah, Hilmaniah dan al-Azafirah.
    Kedua: Mereka yang menyerupakan sifat-sifat Allah dengan sifat-seifat makhluk. Ada yang menyamakan kehendak Allah dengan kehendak makhluk. Mereka adalah golongan Muktazilah Basrah dan al-Karramiah. Ada juga yang menyamakan percakapan Allah dengan percakapan makhluknya begitu juga dakwaan Allah mempunyai suara, berhuruf dan bersifat baharu. Sebahagian lain menyamakan pengetahuan Allah itu dengan pengetahuan makhluk. Mereka mewajibkan sifat mengetahui tetapi cara Allah mengetahui itu menurut kepercayaan mereka baharu seperti ilmu makhluk.
    Aliran-aliran yang terdapat dapalam ajaran al-Musyabihat:
    al-Saba’iah:
    Mereka adalah pengikut Abdullah bin Saba’ yang dibincangkan dalam mazhab Syiah yang melampau tetapi mengikut fahaman Musyabihat.
    al-Mughiriah:
    Mereka adalah pengikut Mughirah bin Suwaid al-Ajali, seorang ahli sihir bermazhab Syiah. Dia mendakwa malaikat Jibril dan Mikail pernah melafazkan sumpah setia kepadanya di sisi Kaabah iaitu antara Kaabah dan makam Ibrahim. Dia mendakwa Allah menghidupkan 17 lelaki yang diberikan huruf daripada Asma’ Allah al-A’zam (Nama-nama Allah yang Agung). Oleh itu mereka dapat mengalahkan musuh dan memiliki bumi.
    Apabila ajarannya sampai ke pengetahuan Khalid bin Abdullah al-Kasri, beliau memerintahkan supaya menangkap dan menghukum bunuh Mughirah dan pengikut-pengikutnya.
    Selepas mughirah meninggal dunia, pengikut-pengikutnya yang masih hidup bertelagah sesama sendiri. Ada yang menyatakan Mughirah masih hidup dan menunggu kelahiran semula. Ada pula yang menyatakan, “Kita tunggu sahaja kelahiran Imam Muhammad al-Nafsi al-Zakiah.”

    Sejarah Mazhab Halajiah

    Pengikut Husain bin Mansur al-Halaj. Menurut ahli sejarah, dia berasal dari Parsi dan menganut agama Majusi. Kemudian, dia menganut Islam dan menyertai ahli Tasauf. Dia pernah berguru dengan Abu al-Kasim al-Junaid. Dia kemudian pergi ke Mekah dan tinggal di sana selama setahun. Apabila dia mengemukakan pendapat maka Amru bin Ustman al-Makki menuduhnya menentang al-Quran dan mengancam untuk membunuhnya. Mendengar ancaman itu dia melarikan diri ke Khurasan. Selepas lima tahun dia datang lagi ke Mekah. Kemudian dia pergi ke Baghdad dan merantau ke India. Di India, dia mempelajari ilmu sihir sebelum kembali semula ke Mekah. Selepas itu dia pergi ke Baghdad dan Qom, Iran.
    Dia mengaku mengetahui rahsia hati dan mengeluarkan kata-kata yang boleh ditafsirkan dengan makna baik dan makna buruk. Kadang-kadang kata-katanya seperti Syiah dan kadang-kadang seperti Ahli Sunnah. Pada zaman pemerintahan al-Muhtadir al-Abbasi, dia mengucapkan kalimah-kalimah yang mendakwa Tuhan meresap ke dalam dirinya. Kadang-kadang dia memakai pakaian sarjana Islam berserban besar lalu mengemukakan pendapat-pendapat yang bercanggah dengan hukum syariat. Antaranya:
  • Mengharuskan haji ke tempat yang lain daripada Mekah asalkan dia dapat membina bangunan empat persegi rumahnya atau bilik yang tidak kena najis dan bertawaf mengelilingi pada musim haji, memberi makan 30 orang anak yatim dan memberi pakaian kepada mereka dengan menganggap perkara-perkara itu menepati ibadah haji.

  • Mengharuskan berbuka puasa di bulan Ramadan kepada orang yang berpuasa selama tiga hari tiga malam.

  • Harus meninggalkan sembahyang kepada orang yang bersembahyang dua rakaat daripada awal malam sehingga akhirnya.

  • Mengeluarkan kata-kata yang mengelirukan seperti, “Ana al-Haq (Akulah Tuhan).” Sesiapa yang mendidik dirinya supaya mengerjakan taat dan bersabar dengan kelazatan dunia dan menurut nafsu nescaya jiwanya meningkat sehingga mencapai tahap muqarabin (orang yang dekat dengan Tuhan). Tahap ini boleh meninggi sehingga hatinya bersih daripada sifat manusia. Apabila tidak ada lagi sifat itu, roh Tuhan dapat memasuki dirinya seperti penciptaan Nabi Isa.

  • Terdapat perselisihan dalam kalangan sarjana ilmu al-Kalam, pakar fikah dan ahli tasauf daripada segi menghukum al-Halaj. Sebahagian sarjana mengkafirkannya seperti majoriti sarjana ilmu kalam dan sebahagian daripada pakar-pakar fikah dan ahli tasauf. Hujah mereka adalah ajaran al-Halaj termasuk dalam akidah al-Hululiah. Sebahagian lagi berhujah dan menafsirkan ucapannya dengan takwil.
    Walau bagaimanapun pihak pemerintah Abasiah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas al-Halaj kerana pegangan dan ucapannya yang sangat mengelirukan. Namun, sebahagian pengikutnya mendakwa al-Halaj tidak mati. Orang yang dibunuh adalah orang yang menyerupainya. Walau bagaimanapun, ramai orang berbelah bahagi. Ada yang mengkafirkannya dan ada yang memujanya kerana perselisihan sarjana Islam menafsirkan ucapan Halaj itu.
    Perkara yang membahayakan adalah fahaman dan aliran pemikiran al-Halaj dirakam dalam beberapa kitab tasauf. Lebih membahayakan apabila orang awam membaca tanpa mengkaji secara mendalam dan teliti.