Sejarah Mazhab Khawarij
Selepas Uthman bin Affan, khalifah yang ketiga meninggal dunia (syahid), para sahabat dan sebahagian besar umat Islam melafazkan ikrar setia melantik Ali bin Abi Talib menjadi khalifah yang keempat. Walau bagaimanapun, kematian Uthman meninggalkan api fitnah di kalangan umat Islam sehingga membawa kepada peperangan sesama sendiri. Ada dua kumpulan yang berperang ketika itu iaitu kumpulan yang taat kepada khalifag Ali dan mereka yang menentang beliau. Golongan yang menentang berpunca daripada rasa tidak berpuas hati dengan tindakan Ali ke atas orang yang terlibat dalam peristiwa pembunuhan Uthman bin Affan. Perang Siffin berlaku antara mereka yang taat kepada khalifah dan mereka yang menentangnya.
Apabila tentera pimpinan Ali hampir mencapai kemenangan, Muawiyah menerima nasihat Amru bin al-Ash supaya melakukan helah dengan mengangkat al-Quran dan mengajak supaya berdamai dengannya. Cara ini membawa kepada pertelingkahan sesama sahabat. Ali menyedari penipuan ini namun beliau terpaksa mengikut mereka yang terpengaruh dengan helah itu. Mereka menerima Tahkim dengan Ali mewakilkan Abu Musa al-Asy’ ari manakala Muawiyah mewakilkan Amru bin al-Ash.
Dalam pengadilan itu, Abu Musa al-Asy’ ari tertipu dengan helah yang digunakan oleh Amru al-Ash. Pengikut Ali tidak berpuas hati dengan pengadilan itu berkata: “Tiada hukum yang sebenar melainkan Allah.” Ali menjawab, “Perkataan itu benar tetapi diucapkan di tempat yang salah.” Mereka mengambil keputusan menentang dan keluar daripada keputusan perlantikan khalifah yang sah. Mereka menuju ke Harura’.
Ali datang memujuk mereka secara damai. Beliau mengemukakan soal jawab secara baik kepada mereka. Ali bertanya kepada mereka sambil menongkatkan busur panah, “Adakah kamu tahu, aku benci pada jawatan?” Mereka menjawab, “Ya.” Ali bertanya lagi, “Tidakkah kamu sedar, kamu juga memaksa aku supaya menerimanya?” Mereka menjawab, “Ya.” Ali bertanya lagi, “Kalau begitu, mengapa kamu menentangku?” Mereka terus rasa bersalah dan berkata, “Sesungguhnya kami melakukan dosa yang besar. Sekarang kami bertaubat kepada Allah.” Mereka pun pulang ke Kufah bersama Ali.
Tidak lama kemudian, mereka berubah fikiran lalu menentang semula. Ali terus menghantar Abdullah bin al-Abbas supaya berdamai dengan mereka bagi menghilangkan fitnah dan bencana. Namun, mereka mengambil keputusan menentang khalifah dan bersumpah setia melantik ketua yang dipilih oleh mereka sendiri iaitu Haraura’. Kerana itu, kumpulan ini dinamakan al-Harauriah. Oleh kerana mereka keluar menentang khalifah, mereka dinamakan Khawarij. Mereka juga menamakan diri mereka dengan nama al-Syurah bermaksud orang yang menjual nyawa kerana mahukan keredhaan Allah sedangkan mereka termasuk dalam pengikut ajaran sesat.
Golongan Khawarij bersepakat mendakwa Ali terkeluar daripada Islam berdasarkan peristiwa Tahkim dan mendakwa orang Islam yang mengerjakan dosa besar juga terkeluar daripada Islam. Mereka juga menghukum orang yang mengerjakan dosa besar akan diseksa dalam neraka selama-lama kecuali golongan al-Najdad iaitu salah satu daripada pecahan Khawarij. Mereka juga mempunyai pegangan-pegangan yang berbeza mengenai akidah serta bersikap menentang keras kepada khalifah Islam yang tidak disenangi mereka walaupun khalifah itu daripada kalangan para sahabat. Apabila golongan Syiah melampau memuja Ali, golongan Khawarij pula melampau menentang Ali serta para sahabat yang tidak sependapat dengan mereka.
Pada asalnya, mereka menentang dalam urusan pemerintahan Islam sahaja. Namun, tindakan mereka melarat kepada perkara-perkara akidah yang menyeleweng daripada landasan al-Quran dan sunnah.
Pada asalnya, mereka menentang dalam urusan pemerintahan Islam sahaja. Namun, tindakan mereka melarat kepada perkara-perkara akidah yang menyeleweng daripada landasan al-Quran dan sunnah.
Mereka adalah golongan yang bersifat kasar dan keras. Ini kerana kebanyakan mereka daripada kalangan orang Badwi (desa) yang berperangai begitu. Ditambah pula dengan kejahilan agama dan lemah dalam memahami al-Quran dan sunnah walaupun mereka berpegang kuat pada agama dan sayang padanya.
Pegangan mereka berbeza dengan Ahli Sunnah wal Jamaah. Antara pegangan mereka adalah:
Mereka cuba mempengaruhi Abdullah bin Zubair yang menentang pemerintahan Muawiyah. Mereka meminta dengan keras supaya Abdullah mendakwa dan mengecam sahabat-sahabat termasuk ayahnya keluar daripada Islam. Dengan bijak, Abdullah menjawab, “Sesungguhnya Allah yang maha perkasa dan berkuasa menunjukkan kata-katanya kepada orang yang paling kafir dengan cara yang lebih lembut daripada ini. Allah berkata kepada Musa dan Harun surah Taha, ayat 43 hingga 44,
“Pergilah kamu berdua berjumpa Firaun sesungguhnya dia melampau batas, katakanlah kepadanya dengan kata-kata yang lembut, mudah-mudahan dia menerima peringatan dan berasa takut.”
Nabi Muhammad juga berkata,
“Jangan kamu menyakitkan orang yang hidup dengan memaki orang yang sudah mati.”
Lalu beliau melarang sahabatnya memaki Abu Jahal di hadapan anaknya Ikrimah. Abu Jahal adalah musuh Allah dan rasulnya sebelum hijrah dan memeranginya selepas hijrah. “Cukuplah syirik menjadi dosa yang paling besar. Adalah tidak kena pada tempatnya kamu berkata demikian kepada ayahku dan sahabat-sahabat yang lain.”
Seterusnya Abdullah bin Zubir mempertahankan Uthman, Ali dan ibu saudaranya, Aisyah sehingga golongan Khawarij meninggalkannya.
Golongan Khawarij menentang khalifah secara kekerasan. Antara tindakan kejam yang mereka lakukan adalah membunuh Ali bin Abu Talib. Ali dibunuh oleh seorang pengikut Khawarij yang bernama Abdul Rahman bin Muljim.
Seterusnya mereka berpecah kepada lapan golongan yang besar dan berpecah pula daripadanya beberapa kumpulan kecil yang mempunyai pegangan yang berbeza antara satu sama lain.
No comments:
Post a Comment