Wednesday, 2 February 2011


Sejarah Syiah Zaidiyyah

Mereka adalah pengikut Imam Zaid bin Ali Zainal Abidin. Imam Zaid dikenali sebagai Abu Muhammad dan Abu Hasan. Aliran ini dianggap paling hampir dengan fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah. Mereka tidak menganggap martabat imam itu sama seperti martabat nabi-nabi. Mereka tidak mengkafirkan para sahabat nabi Muhammad. Mereka berpendapat Imam Zaid paling layak menjadi imam selepas Husain bin Ali meninggal dunia. Kemudian, ia diikuti zuriat daripada keturunan Fatimah az-Zahra”. Mereka mengiktiraf Abu Bakar, Umar sebagai imam negara Islam walaupun mereka percaya Ali lebih layak. Ini kerana, orang yang kurang syaratnya boleh menjadi khalifah walaupun ada orang yang paling layak dan imam tidak mestinya maksum. Dalam perkara Tauhid mereka lebih hampir kepada Muktazilah, tetapi dalam perkara Fikah mereka lebih hampir kepada mazhab Syafie. Pengikut mereka masih ramai di negeri Yaman dan sedikit di Asia Tenggara.
Imam Zaid gugur syahid bersama-sama beberapa orang pengikutnya ketika mereka keluar menentang tentera kerajaan Umawiah di bawah pemerintahan Hisyam bin Abdul Malik. Peristiwa itu berlaku pada hari Isnin 2 Safar tahun 122 Hijrah ketika Imam Zaid berusia 42 tahun. Kemudian anaknya Yahya bin Zaid menjadi imam, Yahya juga dibunuh pada akhir kerajaan Umaiyah, kemudian kepimpinan mereka beralih kepada Muhammad bin Abdullah bin Hassan bin Hassan bin Ali bin Abi Talib yang lahir di Madinah tetapi beliau terbunuh pada zaman kerajaan Abbasiah. Imam Abu Hanifah (imam fahaman Hanafi) bersimpati dengannya dan melafaz ikrar setia sehingga Abu Hanifah dihukum penjara oleh Abu Jaafar al-Mansur dan meninggal dunia dalam penjara.
Fahaman Zaidiah berpecah kepada 3 aliran:
Jarudiah
Pengikut kepada Abu Jarud (Sulaiman bin Zaid bin Abi Zaid). Dia menyeleweng daripada ajaran Imam Zaid. Ajarannyaberfahaman, Hasan bin Ali menjadi imam selepas ayahnya. Selepas Hasan, Husain bin Ali bakal menggantikannya berpandukan wasiat Ali. Di kalangan mereka ada yang berpendapat, Imam Mahdi yang lahir pada akhir zaman adalah Muhammad bin Abdullah bin Hasan bin Hasan bin Ali yang dikenali dengan Nafsu Zakiah, yang dibunuh syahid pada zaman kerajaan Abbasiah.
Sulaimaniah
Adalah pengikut Sulaiman binjarrir al-Zaidi, mereka mengiktiraf perlantikan Abu Bakar dan Umar sebagai khalifah walaupun pada mereka Ali lebih layak. Namun, mereka mengecam keras tindakan Uthman, Aisyah, Thalhah dan Zubair kerana menentang Ali bin Abu Talib.
Battariah
Pengikut Hasan bin Soleh bin Yahya. Mereka mengiktiraf perlantikan khalifah Abu Bakar dan Umar dan tidak salah melantik mereka berdua. Perlantikan Uthman tidak boleh dipertikaikan kerana beliau termasuk dalam 10 sahabat yang dijamin syurga oleh Nabi Muhammad. Bagi mereka sebarang kesilapan diserahkan kepada Allah. Kedudukan Ali di sisi mereka adalah manusia paling baik selepas Nabi Muhammad, paling layak menjadi khalifah, tetapi Ali menyerah jawatan itu kepada orang lain secara rela. Mereka juga berpendapat, sesiapa yang menghunuskan pedangnya dengan berani, bersifat zuhud lagi alim di kalangan keturunan Hasan dan Husain, dia layak menjadi imam.
Hasan bin Soleh bin Yahya yang menjadi pemimpin fahaman ini adalah seorang yang alim. Imam Muslim pernah merekodkan hadis daripadanya dan Bukhari menyebut rekodnya dalam buku al-Adabu Mufrad.
Antara imam-imam fahaman Zaidiah yang terkenal adalah Imam Zaid bin Ali, Imam Yahya bin Zaid bin Ali dan Imam Muhammad bin Abdullah al-Nafsu al-Zakiah.

No comments:

Post a Comment