Wednesday, 2 February 2011


Sejarah Mazhab Musyabbihah II

al-Mansuriah:
Mereka adalah pengikut Abu Mansur al-Ajali yang mengaku menjadi imam dan mengajak orang ramai mengikut ajarannya.
Akhirnya Abu Mansur ditangkap dan dibunuh oleh Yusuf bin Umar as-Saqafi, Gabenor Iraq pada zaman pemerintahan Hisyam bin Abdul Malik. Selepas dia meninggal dunia, pengikutnya yang masih hidup berpecah kepada dua mazhab:
Al-Husainiah:
Pengikut al-Husain bin Abu Mansur
Al Muhammadiah:
Yang mendakwa menjadi pengikut Muhammad bin Abdullah (al-Nafsi al-Zakiah).
Al-Khattabiah:
Pengikut Abu al-Khattab Muhammad bin Abu Zainab al-Asadi al-Ajda’. Akibat daripada ajarannya sesat dan menyesatkan itu, Imam Jaafar al-Sodiq menjauhkan diri daripadanya walaupun Abu al-Khatab mengaku sebagai pengikutnya.Saad al-Qummi berkata dalam kitabnya al-Maqalat wal-Firaq, golongan Khattabiah ini berpecah kepada empat pendapat:
  • Pendapat pertama; mereka berkata Jaafar as-Sodiq itu tuhan dan Abu al-Khatab itu rasulnya.
  • Pendapat kedua; mereka yang berkata al-Sirri al-Aqsam diutuskan oleh Jaafar as-Sodiq lalu mereka bersembahyang, berpuasa dan menunaikan haji kerana Jaafar.
  • Pendapat ketiga; mereka yang berkata Jaafar itu Allah dalam bentuk cahaya. Dia masuk ke dalam tubuh orang yang diwasiatkan menjadi peggantinya. Orang yang dimasuki cahaya itu adalah Jaafar. Kemudian cahaya itu keluar dan masuk pula ke dalam Abu al-Khatab. Jaafar ketika itu bertukar menjadi malaikat.
  • Pendapat keempat; mereka yang menyamakan Bazigh seperti Abu al-Khatab. Dia juga diutuskan menjadi rasul dan berkongsi dengan Abu al-Khatab dalam pangkat nabi dan rasul.
Apabila ajaran Abu al-Khatab berleluasa, Gabenor Kufah menggerakkan bala tenteranya pada tahun 38 Hijrah bagi menghapuskan Abu al-Khatab dan pengikut-pengikutnya. Abu al-Khatab dan pengikut-pengikutnya menentang bala tentera Gabenor Kufah dengan menggunakan pisau, seligi dan batu-batu. Akhirnya Abu al-Khatab berjaya ditahan dan dibawa ke Kufah. Dia dijatuhkan hukuman bunuh bersama beberapa pengikutnya. Mayat-mayat mereka disula dan dipertontonkan kepada orang ramai.
Al-Muamariah:
Pengikut seorang yang bernama Muamar, mereka menyembahnya seperti menyembah Abu al-Khatab.
Al-Bazighiah:
Pengikut Bazigh bin Musa. Dia mendakwa Imam Jaafar as-Sodiq itu Tuhan yang menjelma dengan rupa makhluk.
Al-Ujailiah:
Pengikut Umair bin Banan al-Ujaili. Pengikutnya mendakwa Umair adalah pengganti Abu al-Khatab. Walau bagaimanapun, mereka menerima kematian berbeza dengan al-Muamariah yang mendakwa mereka berpindah ke alam malakut. Akhirnya ketua mereka dijatuhkan hukuman bunuh oleh pemerintah Islam pada zamannya.
Al-Kayyaaliyyah:
Pengikut Ahmad bin al-Kayal. Dia dianggap sebagai salah seorang Imam yang tersembunyi. Peringkat awal dia mengaku menjadi imam sehingga pada suatu hari dia mendakwa mampu “berdiri dengan sendirinya” (menjadi Tuhan).
Al-Nusairiah:
Pengikut Muhammad bin Nasir yang mendakwa sebagai pengikut Imam Husain al-Askari. Dia adalah imam yang ke sembilan daripada mazhab Syiah Imamiah. Dalam ajarannya sering membincangkan perkara Syiah. Mereka adalah golongan pelampau Syiah.

No comments:

Post a Comment