Wednesday, 2 February 2011


Sejarah Mazhab Qadiani atau Ahmadiah

Ajaran ini diasaskan oleh Mirza Ghulam Ahmad al-Qadiani. Qadian adalah gelaran tempat kelahirannya di salah sebuah bandar di wilayah Punjab, India. Apabila ajaran al-Babiah dan al-Baha’i mendapat sokongan penjajah di Iran, ajaran Qadiani, Qadianiah atau Ahmadiah pula mendapat sokongan penjajah Inggeris di India dengan tujuan merosakkan akidah umat Islam dari dalam. Ia juga bagi mewujudkan masalah dalaman umat Islam sehingga meredakan penentangan mereka kepada penjajah.
Pengasasnya mempunyai latar belakang sejarah yang tidak baik sejak awal lagi. Keluarganya menjadi hamba kepada penjajah Inggeris di India. Dia dilahirkan pada tahun 1839 atau 1840 Masihi. Dia mempelajari ilmu bahasa Arab seperi nahu dan sorof. Selain itu, dia juga mempelajari ilmu bahasa Inggeris, ilmu perubatan dan juga ilmu tilik nasib daripada ayahnya yang pernah menjadi penilik nasib.
Pada mulanya, dia menunjukkan sikap berpegang pada ajaran Islam sebenar dengan membela agama dan bersedia mengarang kitab bagi tujuan itu. Dia berjaya mengumpulkan sumbangan wang dan tenaga oleh masyarakat di tempatnya yang menyokong usahanya itu. Namun, secara tiba-tiba dia menyeleweng dan menyebarkan ajaran itu dengan mendakwa nabi Isa sudah wafat dan kuburnya terletak di India. Hujahnya adalah apabila Nabi Isa diburu oleh puak pelampau Yahudi, beliau berhikrah ke Kashmir dan tinggal di sana sehingga meninggal dunia. Beliau meninggal dunia semasa berusia 120 tahun dan dikuburkan di sana. Walaupun teorinya secara jelas menunjukkan pembohongan dan rekaan semata-mata, terdapat segolongan umat Islam yang mempercayainya.
Kemudian, dia mengaku menjadi Imam Mahdi. Imam Mahdi adalah individu yang dijanjikan oleh Nabi Muhammad akan lahir pada akhir zaman. Dia membacakan hadis, setiap 100 tahun akan lahir pemimpin gerakan pembaharuan (mujaddid). Akhirnya dia mendakwa dirinya adalah mujaddid pada akhir abad ke-14 Hijrah.
Selepas berjaya mengumpul pengikut, dia menaikkan tarafnya dengan roh Nabi Isa menjelma di dalam dirinya. Kemudian, dia mendakwa roh Nabi Muhammad menjelma dalam dirinya. Akhirnya, kedua-dua roh nabi itu berkumpul dalam dirinya.
Memandangkan para nabi mempunyai mukjizat, dia juga mendakwa mempunyai mukjizat. Dia berkata, “Aku boleh mengadakan sejuta mukjizat.” Namun, tidak ada satu pun mukjizat yang bedaku. Ada juga beberapa ramalan yang dibuat olehnya seperti memberitahu saat kematian penentangnya dengan tarikh yang ditetapkan tetapi ramalan itu tidak berlaku.
Ajaran Qadiani bercanggah dengan rukun-rukun iman secara terang-terangan. Antaranya rukun beriman pada Allah, para rasul dan hari kiamat. Kesesatannya semakin jelas terdedah apabila gerakannya disokong kuat oleh penjajah Inggeris di India. Pihak Inggeris memberi kebenaran kepada Mirza Ghulam Ahmad bagi menyebarkan ajarannya di negara-negara umat Islam. Sebagai tanda sokongan, pihak Inggeris memberikan kawasan penempatan yang mereka namakan Rabwah di daerah Punjab bagi dijadikan pusat gerakannya di seluruh India dan seluruh dunia Islam. Gerakan ini diberikan pelbagai kemudahaan bergerak dengan harapan gerakan ini dapat memecahkan kesatuan umat Islam dan meredakan tentangan mereka kepada penjajah.

No comments:

Post a Comment