Sejarah Syiah
Menurut Imam Abu Hasan Asy’ari dalam bukunya Maqalaat Islamiyiin dan Asyaharastani di dalam bukunya al-Milal wal Nihal, Syiah adalah nama yang diberi kepada mereka yang mengaku sebagai pengikut Ali dan percaya beliau mempunyai kelebihan berbanding para sahabat lain. Mereka lahir menjadi suatu aliran selepas berlaku ketegangan yang menjadi ukuran peperangan antara Ali dan Muawiyah. Apabila Ali dan generasi pertama Ahli Bayt meninggal dunia, timbul di kalangan mereka pandangan-pandangan yang tersendiri berhubung dengan akidah dan syariah. Antaranya mereka berhujah, kepimpinan negara adalah salah satu daripada rukun dan prinsip Islam. Tidak boleh bagi Nabi membiarkannya dan menyerahkan kepada umat semata-mata. Mereka percaya Imam itu bersifat maksum (suci daripada dosa).
Mereka percaya kedudukan Ali lebih layak menjadi khalifah dan bukannya melalui proses Syura (mesyuarat) sahaja. Mereka mendakwa kelebihan Ali berdasarkan kepada bukti secara terang dan tersembunyi. Bukti terang daripada Nabi Muhammad dengan katanya,
“Siapa yang dia jadikan aku sebagai tuannya maka Ali yang menjadi tuannya.”
Dan Nabi Muhammad berkata lagi,
“Orang yang paling layak menjadi hakim di kalangan kamu adalah Ali”.
Bukti yang tersembunyi adalah Nabi Muhammad menghantar Ali supaya membaca surah at-Taubah kepada jemaah haji, bukannya Abu Bakar.
Oleh itu mereka percaya kepimpinan negara Islam mesti diserahkan kepada Ali bin Abu Talib dan keturunannya. Melantik orang lain bermaksud merampas hak dan melantik orang yang tidak layak. Ada antara mereka menyifatkan perbuatan itu zalim dan kafir.
Akhirnya, Syiah berpecah kepada fahaman-fahaman yang banyak. Ada yang bersikap sederhana dan ada yang radikal.
No comments:
Post a Comment